Friday 23 November 2012

diantara


Cinta atau wang ringgit?... persoalan yang sering ditimbulkan. Sering kita dengar, dengan cinta walau tanpa wang ringgit kita juga boleh hidup.. kata orang juga, biar papa kedana asalkan dia ada bersamaku ... ada juga yang menyebut,"aku tak pandang wang ringgit, aku cuma perlukan dia dan cinta dia?,".

Betulkah? Sanggup kamu hidup bersusah payah demi cinta? Sanggup kamu meneroka lautan biru dan mendaki curam gunung untuk mencari sesuap nasi? atau kelak, sanggup kamu mengikat perut demi satu cinta?

Kalau cuma dua perut yang ada untuk diisi mungkin mudah untuk mencari suapan tapi kalau sudah punya anak? Bagaimana? Adakah bersandarkan pada janji, pada cinta, anak itu di besarkan? Adakah kerana sikap ibu bapa yang memilih jalan mudah, anak yang dikorbankan? Lahir dan di besarkan dalam dunia serba kekurangan?

Cinta, tidak dinafikan sebahagian daripada keperluan untuk menikmati kegembiraan berpasangan. Tapi tanpa wang ringgit adakah kegembiraan itu akan berkekalan?

Pernah dulu aku dijanjikan, biar kamu susah, aku akan turuti. Biar kamu lapar aku juga akan lapar. Tapi setakat mana perut kamu, nafsu kamu dapat bertahan? Dan saat itu kamu mula meleteri kehidupan kamu dan aku. Saat itu mula timbul penyesalan di hati kamu tentang pilihan kamu. Saat itu wujud rasa benci dan menyampah kamu pada aku, yang tak mampu memberi kesenangan pada kamu. Maka adilkah aku seorang yang dipersalahkan sekiranya terjadi perhubungan yang serba kekurangan kerana pada dasarnya kamu juga bersetuju dengan aku dan kamu juga menerima aku seadanya?

Dengan demikian berpalinglah pada harta? Mampukah harta yang benyak menjamin kesenangan? Mampukah wang ringgit berpuluh malahan beribu kali lipat dapat memberi kegembiraan tanpa adanya cinta antara kamu dan aku? Senangkah hati ini sekiranya tiada cinta saat mahligai disinari cahaya emas? Tiada peluk rindu , tiada kucup rayu, taia manja sayang ... bahagiakah kamu cuma dengan menadah tangan meminta wang ringgit?

Aku mengabaikan kamu kerana mengejar kekayaan. Aku tinggalkan kamu pada satu satu masa demi mencari keuntungan. Aku lalai dengan tugas aku sebagai ketua keluarga kerana mahu menghidangkan lebih daripada sesuap nasi di atas meja makan. Layakkah aku untuk kamu cintai? Maka kamu yang kesunyian mula mencari keseronokkan peribadi. Kamu yang ketandusan kasih sayang mula mencari madah madah cinta tersembunyi di luar sana. Kejujuran pudar, keikhlasan lesap, kesucian ternoda, keagungan cinta lenyap ... kerana harta semuanya berpunca.

Cinta atau harta? Kembali persoalan menyengat pemikiran. Ternyata kedua duanya jika digabungkan membawa kebahagiaan hakiki. ternyata kedua duanya punyai peranan masing masing yang begitu penting untuk menggenbirakan hati orang yang hidup berpasangan. Ternyata tiada cinta tiada seri hidup berpasangan. Ternyata tiada harta, tiada sinar hidup berduaan.

Aku, lelaki seharusnya tahu tanggungjawap aku. Jika aku memilih kamu maka aku bertanggungjawap membahagiakan kamu. Jika aku sayang kamu maka aku harus memberi makan kamu secukupnya. Masakan aku cinta kamu sedangkan aku biarkan kamu menderita? Kurang harta, aku carikan. Kurang cinta, aku berikan. Tapi kamu juga harus berperanan, aku juga perlukan kamu untuk menyedarkan aku akan keseimbangan yang kamu perlukan untuk merasa bahagia bersama aku. Sememangnya sukar untuk melaksanakan apa yang perlu tapi percubaan untuk menjayakan apa yang diimpikan harus dilakukan.

Kalau sudah pilihan kamu seorang yang tak berharta bukan bermakna itu satu masalah cuma pastikan dia tahu akan tanggungjawapnya. Jangan kerana janji kamu sanggup hidup susah dengannya bermakna dia hanya berpeluk tubuh melihat kamu menderita.Seandainya pula jodoh kamu pada orang yang berharta tanpa ada rasa cinta kamu padanya, itu juga bukan satu masalah.

Cuma pastikan yang dia cintakan kamu dan kamu belajar menerima kasih sayangnya nescaya satu hari kelak kamu juga akan jatuh cinta kepadanya.KESABARAN adalah kuncinya, tiada yang senang sebelum susah dahulu dan tiada yang cinta sebelum kenal.Seandainya pilihan kamu memiliki kedua duanya, kamu beruntung maka jangan kamu persiakannya. Hargailah apa yang kamu ada dan gendonglah sebaik mungkin.


Ikhlaskan hati Menerima semua yang terjadi atas kehendak Illahi Dia yang Maha Mengetahui..
Ikhlaskan hati Menerima semua yang terjadi walau berat di hati tapi untuk kebaikan diri sendiri..
Ikhlaskan hati Menerima semua yang terjadi Demi meraih redha Illahi mencapai cinta yang hakiki..
Ikhlaskan hati Menerima semua yang terjadi terus berusaha memperbaiki diri Menjadi muslimah yang sejati..

penilaian


“Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik… didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi ‘siapa kita’ ketika melihatnya .
kata2 yg diungkapkan oleh parol ahmad juoi dlm fbnya yg mmbawa kpd prtnyaan sesetngh pihak kpadanya samada secara terus atau melalui sms :
  bagaimana jika kita sudah dianiaya oleh orang yang sama berulangkali. Patutkah kita terus bersangka baik kepadanya?
Soalan yang sukar dijawab jika diserahkan kepada akal dan rasa hati untuk menilainya. Maklum sahaja, akal dan rasa hati kita masih tidak kebal daripada bujukan nafsu dan tipu daya syaitan. Kita manusia biasa, banyak kelemahan dan kekurangan. Namun, kekurangan dan kelemahan itu pun hakikatnya suatu kelebihan dan kekuatan jika kita mahu belajar dan mengambil iktibar daripadanya.
Tidak ada jalan keluar, melainkan kita pasrah berdoa dengan memohon taufik dan hidayah Allah selalu. Agar Allah pandu dan pacu hati kita ke arah kebenaran. Dan jika tersalah juga, mudah-mudahan Allah buka pintu hati kita untuk bertaubat. Kita mesti bergaul dengan manusia yang berbagai ragamnya ini. Kita mesti sabar dengan karenah mereka sepertimana mereka pun bersabar dengan karenah kita.
Jalan-jalan menuju keredhaan Tuhan meliuk lentuk di celah-celah simpang siur karenah insan. Maafkan mereka, jika ingin keampunan Allah. Bantulah mereka, jika ingin bantuan Allah. Hubungan antara sesama manusia itulah medan bagi Allah mendidik sifat sabar, pemaaf, pemurah, redha, sangka baik dalam diri hamba-hambaNya yang soleh. Untuk akrab denganNya, Tuhan menguji kita melalui hamba-hambaNya.
Pegang prinsip ini  selalu…  jangan cuma melihat ‘gerakan’ tetapi lihatlah pada ‘Penggeraknya’. InsyaAllah, jika itu yang tersemat di hati, akan redalah sedikit kemarahan, akan teduh sementara  jiwa yang bergoncang. Jika kita sudah sayang kepada Pencipta, tentu kita akan sayang segala ciptaanNya. Majnun akan terasa indah, sekalipun hanya dengan melihat bumbung rumah Laila. Dia tahu, Laila kekasihnya sedang berada di bawah bumbung itu…
Salam buat semua yang berada di akhir Ramadan ini. Semoga kita terus bersama Roh Ramadan yang sentiasa  menyala di hati kita buat menyuluh seluruh dan sepenuh kehidupan dunia yang penuh ujian ini. Dalam kegelapan fitnah akhir zaman kita mengharapkan akan sentiasa ada ‘Lailatul Qadar’ yang membawa sinar iman dan taqwa di hati kita. Biarlah zaman gelap, jangan digelapkan lagi oleh dosa-dosa kita. Biarlah malam-malam kita… sentiasa ditemani oleh iman kepada ‘Pencipta Lailatul Qadar’ itu. Jika demikian, ya Allah… setiap malam adalah Malam Al Qadar...

Anak Kunci




Mahu menjadi wanita yang baik. Mahu memiliki suami yang baik. ???

Itu harapan wajib setiap wanita. Samada pernikahan sudah dekat atau masih dilihat jauh, niat dan rasa itu ada ketikanya sukar disembunyikan. Lantas ia diluahkan dalam banyak cara. Antara paling ketara adalah di facebook.

Perkongsian pelbagai gambar dan animasi, gambaran indahnya ‘hidup bersyariat’ dan percintaan selepas nikah, serta pelbagai note ringkas di bawah setiap gambarnya jelas menunjukkan harapan dan cita-cita murni para srikandi hari ini.


TRAGEDI DAN IKTIBAR

Syukurlah. Meskipun kita hidup di zaman yang sangat mencabar, dengan pelbagai gejala pelik kedengaran saban hari, namun di sana kita ada peluang besar untuk mengenali kebejatan maksiat dan bertindak bijak menjauhinya.

Menjauhi pergaulan bebas, percintaan tanpa batas yang membawa kepada gejala zina dan buang anak.

Kelihatan ramai wanita yang dapat bersedia lebih awal. Maksudnya, sebelum mereka mengenal cinta, mereka telah terlebih dahulu mengenali bahana yang lahir daripada sebuah cinta. Justeru mereka dapat mengambil tindakan berjaga-jaga dari awal.

Pada saya, ini sudah tentu suatu perkara yang sangat positif.


UMUM DAN KHUSUS

Tetapi perlu diingat.

Melihat dan mentafsir perkataan ‘cinta’ secara umum dengan melihat dan merasai secara khusus adalah dua benda yang jauh berbeza.

Di sinilah, kebanyakan wanita jatuh dan terus jatuh.

Ketika ‘bayu’ cinta itu belum menyapa, anda cuma menyaksikan kehidupan orang lain. Ujian orang lain. Cabaran orang lain. Kesalahan bercinta oleh orang lain. Anda lantas mengambil pendirian tertentu atau komen tertentu atau kritikan tertentu. Normalnya begitu.

Namun apabila ‘bayu’ cinta itu menyapa anda sendiri secara khusus, barulah anda tahu langit itu tinggi atau rendah!

Sebab itu jangan pelik, apabila ada wanita yang dilihat begitu kuat berpegang dengan agama, atau sebahagian orang mengistilahkan sebagai ‘syadid’, di mana mereka bersikap keras dalam hal ehwal couple, cinta dan masalah hati, namun apabila tiba masa hati mereka direntap perasaan tersebut, mereka mula menikus dan mahukan privacy.

Jangan ditanya ; mengapa kau pun ‘terima’ juga cinta walhal sebelum ini engkau bukan main lagi nasihat orang sini sana?

Kerana jawapannya  : fitrah itu jangan diperangi, kelak engkau bakal malu sendiri.

HATI UNTUK SATU

Kelemahan paling besar untuk seorang wanita adalah apabila mereka menerima seseorang dan meletakkan orang tersebut di dalam hati mereka. Wanita diciptakan dengan prinsip kesetiaan yang cukup luar biasa.

Hati mereka hanya untuk seorang sahaja.

Apabila telah diberi, sukar untuk diambil kembali dan sukar untuk dikongsi-kongsi.

Dalam hal ini, saya tidak menyalahkan wanita yang bersikap ‘keras’ seratus peratus kerana itu mungkin alternatif terbaik mereka supaya hati yang mahal itu kekal terjaga dan terpelihara. Cuma perlulah berpada-pada. Jangan sampai tahap ‘isytihar perang’ kerana itu jelas bukan satu tindakan yang bijak. Jangan pula terlalu lembut dan terbuka, sehingga dengan mudah boleh dipermainkan oleh sesiapa sahaja.

Mahu atau tidak, kelemahan yang satu ini perlu diakui oleh anda. Mengakui kelemahan ini sewajarnya menjadikan anda lebih bijak dan matang dalam bertindak.

CARA TERBAIK

Jika ditanya pada saya, sudah tentulah cara paling baik, selamat dan bijak adalah ; tidak menerima dan meletakkan seorang lelaki di dalam hati kecuali setelah dikenali, diselidiki dan diyakini bahawa lelaki itu adalah manusia baik yang mahu menikahi kita secepat yang mungkin.

Percayalah. Menjaga hati daripada diberi kepada seseorang bukanlah suatu kerja mudah, lebih-lebih lagi untuk seorang wanita. Ia bukan suatu pembelajaran dari dalam bilik kuliah, dan bukanlah suatu praktikaliti di makmal-makmal tertentu. Ia adalah soal kehidupan.

Janganlah terlalu mendabik dada kononnya anda kuat dan powerful. Tiada lelaki mampu tawan hati anda selain suami. Anda tidak akan jatuh cinta sebelum kahwin. Dan pelbagai ‘slogan’ lain yang pada saya, tidak nampak keperluannya untuk dilaungkan oleh anda.

Bergaul dengan manusia dan mengambil ibrah dari kehidupan, membuatkan saya terbuka untuk menterjemahkan mesej ini kepada anda. Ramai sekali wanita yang berlagak gagah dalam hal ini, namun sebenarnya ini hakikat.

KAMAR PERIBADI

Apabila terlajak meletakkan seseorang di dalam hati, ia bukan suatu yang mudah untuk diundur kembali. Apatah lagi jika sudah banyak ‘suka duka’ atau ‘warna warni’ yang telah dikongsi. Kadangkala si wanita tampak hebat umpama seorang srikandi perang di luaran namun apabila kembali ke kamar peribadi, dia seolah bertukar personaliti.

Kepada lelaki itulah segalanya terasa lebih mudah untuk diadu. Segala masalah seolah hilang apabila disapa perhatian dan keprihatinan si lelaki. Meskipun anda sedaya upaya cuba‘melaungkan’ kepada dunia bahawa KAMI HANYA KAWAN tetapi percayalah, suara anda itu hanyalah bahan ejekan untuk geng Syaitan.

Dalam tidak sedar, sebenarnya anda sedikit demi sedikit telah menukar ‘hak milik’ hati anda kepada lelaki tersebut. Seminggu mungkin anda boleh mendabik dada. Setahun dua tahun, belum tentu.

Pemberian ‘anak kunci’ hati bukan hanya berlaku secara rasmi sebagaimana anda saksikan dalam filem atau drama , di mana si lelaki melutut dan melamar ‘i love you’ kepada anda. Ataupun apabila si lelaki telah mengakad nikah dan menyarung cincin kahwin ke jari anda. Banyak kes, setelah detik-detik ‘rasmi’ tersebut berlaku pun, wanita masih gagal menyerahkan ‘anak kunci’ hati mereka kepada si lelaki.

Tetapi ‘anak kunci’ itu seringkali diserahkan tanpa sedar. Maharnya bukan material. Cukuplah kasih sayang, perhatian, memahami dan seribu satu kebaikan yang dihulurkan oleh sang lelaki. Biar apa pun namanya tika itu, dan biar apa pun jenis hubungan anda dan dia waktu itu, ia tidak lagi menjadi perkara penting.

PERANGI SELEPAS KENA

Saya menyebut bahawa ia bukanlah suatu tindakan bijak, jika si wanita ‘memerangi’ fitrah dalam diri mereka semata-mata takut hati mereka diberi sebelum tiba masanya. Apa yang perlu dibuat adalah berhadapan dengan fitrah tersebut, bertolak ansur dan mengambil pendirian berlandaskan ilmu serta matlamat. Saya kepilkan satu reason kepada anda, bagaimana tindakan ‘memerangi fitrah’ tersebut berjaya merubah seorang wanita normal kepada cintakan kaum sejenis.

Namun berperang mendapatkan kembali ‘anak kunci’ hati anda itu adalah suatu perkara penting yang perlu dibuat. Anda perlu sedar bahawa akibat lebih buruk sedang menanti di hadapan sana andai kata anak kunci tersebut terus dipegang oleh si lelaki yang bukan suami anda.

Kalau saya katakan si lelaki itu jahat, anda mungkin tidak bersetuju. Anda akan mendatangkan ribuan alasan, untuk meyakinkan saya bahawa si lelaki itu benar-benar baik. Tetapi saya kira, anda dan saya boleh bersetuju jika saya katakan bahawa Syaitan dan hawa nafsu itu memang jahat, bukan?

Justeru, berperang tidak perlulah ditafsirkan sebagai bersemuka semata-mata. Ada strategi peperangan di mana tidak perlu berdepan tetapi mudah beroleh kemenangan. Anda lenyapkan segala perangkap yang telah dipasang oleh Syaitan dengan strategi-strategi yang bijak.

Sebagai contoh, si lelaki telah memasuki hidup anda, dan mungkin hati anda telah diserahkan kepadanya. Tetapi anda tahu, langkah si lelaki tidak fokus kepada pernikahan. Kelihatannya banyak terhoyong hayang daripada berjalan betul. Kadang-kadang, tempiasnya terkena pada anda. Dan anda pula terpaksa ‘menyantuninya’ meskipun hati anda tidak bersetuju. Apa boleh buat, ‘anak kunci’ sudah diberi.
Dalam keadaan tersebut, anda sedar yang anda sukar untuk menang jika berperang secara berdepan. Maksud saya, jika anda mahu katakan begini : ” saya mahu hubungan kita diputuskan, kerana saya risau kita berdua tidak dapat saling menjaga agama. Jika betul mahukan saya, tunggu sehingga awak betul-betul bersedia menikahi saya “. Anda sudah tentu tidak sanggup mengucapkan kata-kata tersebut secara berdepan, apatah lagi jika si lelaki pandai memujuk atau bermain kata. Mungkin juga anda boleh ucap ketika kuat, tetapi akan mengubah fikiran apabila terasa lemah, simpati dan sebagainya.

Maka anda boleh gunakan strategi lain. Contohnya ; LENYAPKAN dia dari hidup anda. Zaman ini, kebanyakan hubungan cinta berlaku dalam medium maya, di mana jika nombor telefon, facebook profile dan YM tidak wujud, hubungan cinta dengan mudah boleh terbantut.

Jadi silalah berperang dengan bijak. Melenyapkan dia dari hidup anda sangat membantu untuk mendapatkan kembali ‘anak kunci’ hati.


TIDAK YAKIN

Buat akhirnya, marilah kita lihat kepada dua kalimah di atas. Tidak yakin. Takut teringat. Takut dibadai rindu tidak sudah. Takut itu dan takut ini. Cuba buat eksperimen. Hadir solat berjemaah di masjid kemudian dengar tazkirah setiap hari selama seminggu, atau paling bagus 40 hari ( ketika tidak merah ). Selepas itu, check kembali hati. Masihkah ‘hantu’ itu menguasai hati anda ataupun sudah diganti dengan alunan merdu yang sungguh menenangkan jiwa?

Soalnya, anda kena yakin. Jika melenyapkan si lelaki kemudian membiarkan jiwa terus kosong, memanglah tidak ada faedahnya. Saya maksudkan, lenyapkan anasir negatif dan gantikan dengan unsur yang positif.

InsyaAllah, anda mampu mengubahnya.


Sekian.

beza



Apa yang istimewanya dengan sekolah agama ni?
Apa bezanya dengan sekolah2 yang lain?
Hebat sangat ke ilmu agama budak2 sekolah agama ni?

Apabila kita dapat tau yang seseorang itu dahulunya bersekolah agama atau mahasiswa mahasiswi pengajian Islam ataupun ahli gerakan Islam, maka apa yang dapat kita bayangkan adalah peribadi seorang muslim atau muslimah yang kuat pegangan agama, bersopan santun, tegas dalam pendirian, terjaga muamalatnya, tidak terabai ibadahnya dan macam2 lagi perkara yang baik2. Tapi adakah pendapat2 sebegitu masih relevan pada masa ini? Jawab la sendiri ye.

Budak agama sepatutnya menjadi contoh dan tempat rujukan kepada masyarakat. Dan pada masa yang sama menjadi duta kepada agama yang kita cintai iaitu Islam. Walaubagaimanapun, budak2 agama kini tidak merasakan yang mereka ini istimewa untuk membawa agama Allah ini.

PERHATIAN KEPADA SEMUA BUDAK AGAMA!! JANGAN JADI FITNAH KEPADA ISLAM!!

“Ah, dulu kat sekolah lain. Aku pakai tudung labuh pon sebab dah memang peraturan sekolah camtu. Aku pon ikut je la. Mase zaman sekolah dulu pon, pakai tudung labuh mase kat sekolah je. Kat luar, aku pakai tudung biase2 je”

“Ala, sekati la nak couple pon. Mase kat sekolah dulu tak dapat buat sebab takde org berani couple kat sekolah agama(ye ke??). Sekarang ni, kita bukan kat sekolah agama lagi pon”

“Wei, please la. Aku tak nak jadi hipokrit ok. Inilah diri aku yang sebenar. Aku rase, aku lagi baik dari dorang yang kononnye berlagak alim(perasan je). Alim2 kucing je tu. Takde maknenye”

Nah!! Lantang betul mereka bersuara mempertahankan diri masing2 dengan hujah2 yang sememangnya rapuh. Adakah Islam itu hanya berkuatkuasa di dalam sekolah sahaja? Bila di luar sekolah, Islam diketepikan? Sedangkan Islam itu sesuai dilaksanakan di mana2 sahaja. Islam itu adalah sebagai addin(cara hidup) kita walau di mana mana sahaja kita berada. Janganlah ketepikan hukum2 Allah itu. Takut2, Allah akan ketepikan kita semasa di akhirat kelak. Nauzubillahi min zalik…

Hebat sangatkah kita sampai berani bermain2 dengan hukum Allah. Islam itu sendiri bersifat syumul(menyeluruh). Ciri Islam yang syumul ini membezakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang punya dimensi matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mangetahui segala masalah manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakan manusia. Sebab itu, Islam sahajalah yang mampu memenuhi keperluan manusia; baik sebagai individu, mahupun kelompok, baik dalam urusan pimpinan mahupun perundangan.

Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 138:
“Itulah corak(celupan) Allah, maka siapakah yang lebih baik pencoraknya dari Allah”

Jadi, berbalik kita kembali kepada kata2 ‘lancar’ budak agama sebentar tadi. Hipokritkah orang yang ingin mengamalkan Islam? Hipokrit ataupun kembali kepada fitrah? Kita ini secara fitrahnya adalah Islam. Islam itu fitrah. Jadi, dari planet manakah wujudnya ideology yang mengatakan orang yang ingin mengamalkan Islam (walaupun dulunya dia fasik) adalah seorang yang hipokrit?

Sungguh dangkal fikiran orang-orang yang mengatakan sebegitu rupa. Berfikir baik2 sebelum keluarkan apa2 statement. Kalau tidak pun, berdiam diri adalah lebih baik.

Saya hanya membawa beberapa contoh sahaja. Realitinya, memang ramai budak agama yang berperangai seperti ini. Anda sendiri mungkin pernah terserempak / berbual / berkawan / berjalan dengan insan2 sebegini juga,kan??

Jika budak agama bercouple, maka orang lain akan anggap yang bercouple itu dibenarkan.
Jika budak agama meninggalkan solat, maka orang lain akan fikir bolehlah tinggalkan solat.
Jika budak agama tidak menjaga muamalat, maka orang lain pun tidak kisah dgn muamalat yang dituntut oleh Islam.
Jika budak agama tidak memelihara auratnya, maka orang lain pun ikut sahaja.
“Habis tu, dah budak agama pun buat bende2 camtu, kitorang yang biase2 ni ikot je la”

Jika budak agama menyanyi di atas pentas sambil menari berpegangan tangan dengan yang bukan mahram, maka lihatlah kesannya nanti. Fikir2kan lah. Takkan nak kena bagi tau jugak..

WAHAI BUDAK2 AGAMA!! JANGAN JADI FITNAH KEPADA ISLAM!!

Jadi, kepada budak2 agama. Renung2kan, di kelompok manakah anda berada sekarang ini? Adakah anda pada saat ini menjadi duta kepada Islam? Adakah anda menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat? Ataupun anda sendiri adalah FITNAH kepada Islam? Sama2lah kita bermuhasabah

luka



Seribu luka di sana terus mengalir cuma mengharapkan hati –hati seakidah di sini tergerak nyatakan pendirian membahagiakan mereka di sana. Kita tidak mampu untuk mengangkat senjata saat umat Palestin di sana Allah muliakan dengan janji syahid. Maka apa yang kita boleh lakukan ? 

1) TERUSKAN BERDOA kerana kita sememang tidak mampu mengangkat senjata seperti mereka , cukuplah dengan kita mengangkat tangan berdoa untuk mereka. Kita ummah yang sinonim dengan doa.Semoga Allah pandang usaha kerdil kita


2) Jadilah kita sebagai AGEN PENERANGAN pada umat yang masih belum sedarkan akan hakikat rakyat di sana bermandi dengan darah , bermain dengan soal kehidupan yang tidak pasti bukan pada esok hari sahaja tapi pada detik minit yang akan datang.


3) Selain itu, kita boleh melakukan SOLAT HAJAT dan puasa yang diniatkan khusus untuk rakyat Palestin, Syria, Patani, Rohingya dan semua umat Islam yang sedang ditindas.


4) BOIKOT barangan yang memberi menyumbang kepada rejim kejam .


5) Solat Subuh berjemaah di masjid. (Yahudi amat takutkan apabila umat Islam menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid seperti solat Jumaat)


6) Memastikan sunnah Rasulullah SAW diutamakan dan diamalkan.


7) Tanamkan dan sebarkan kesedaran indahnya hidup beragama melalui SMS, email, CD, risalah, blog dan lain-lain.


8) Hadiri majlis ilmu atau membaca bahan bacaan yang mengukuhkan kefahaman kita tentang kejahatan dan tipudaya Yahudi kepada orang Islam.


9) Menyokong dan menyertai mana-mana aktiviti bantahan kepada Yahudi.


10) Memboikot semua rancangan media yang berbentuk hiburan maksiat serta merosakkan akhlak remaja Islam.

Jangan jadi muslim yang berada bawah telangkup gelas jernih ! Kita bukan tidak tahu isu Palestin kerana kita bukan zaman katak bawah tempurung tapi kita zaman yang mudah menerima jutaan berita luar dan dalam. Jangan jadi muslim bawah gelas jernih, Nampak apa yang berlaku namun diam seribu bicara. Cukuplah dengan tindakan kita di atas dapat mengelak dari ancaman Nabi kita sollahu ‘alaihi wasalam iaitu “Bukan dari golongan kami yang tidak memikirkan langsung hal muslim yang lain”
 

Wednesday 21 November 2012

ikhlas



Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama. (Az-Zumar 11)

Iblis menjawab, Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka. (Sad 82-83)

Ikhlas. Apa keistimewaan ikhlas sehinggakan orang yang memiliki ciri-ciri itu mendapat keredhaan dan kebaikan dunia akhirat Perkataan ikhlas selalunya digunakan ketika kita sedang memberi sesuatu dengan suka dan rela hati, kerana cinta kepada penerimanya. Tanpa kita sedari, maksud ikhlas itu jauh lebih mendalam. Ada ikhlas di dalam ikhlas dan ada ikhlas lagi di dalamnya. Sejauh mana tahap keihklasan kita -apakah niat kita yang baik pada mulanya semata-mata mendapat keredhaan Allah tapi kemudiannya dipengaruhi syaitan supaya riak itu juga dikira tidak ikhlas.
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat Anda tentang seseorang yang keluar (dari rumahnya) untuk berjihad di jalan Allah, dia ingin mencari pahala dan populariti sebagai seorang yang berani, apa yang ia perolehi Nabi menjawab,  Tidak ada apa-apa. Walaupun ditanya beberapa kali, jawapan Rasulullah tetap juga sama. Kemudian Nabi bersabda,
'Sesungguhnya Allah tidak menerima segala amal, kecuali amal yang dikerjakan dengan ikhlas dan untuk mencari keredhaan Allah'. (HR An-Nasa'i)
Cuba bayangkan amalan-amalan kita selama ini, apakah ianya benar-benar ikhlas kerana Allah. Apakah kita muslimah memakai jilbab yang labuh supaya kita dipuji orang ramai dan seronok dengannya Pernahkah anda gembira jika anda dipuji orang-orang tua apabila anda ke masjid
Na'uzubillah.
Lantas, oleh kerana keikhlasan berubah-ubah bersama niat, kita perlu menetapkan niat sebelum melakukan sesuatu perkara. Sebelum keluar ke universiti, tetapkan apa niat kita belajar. Kita tidak sanggup melihat kafirun dan jahiliyyah lagi yang memegang pemerintahan negara. Kita mahu menegakkan agama islam. Kita tidak mahu digelar orang beragama yang tidak berilmu, orang da'wah yang hanya cakap pandai. Inilah sebabnya kita pergi menuntut ilmu. Semuanya lillahita'ala.
Bila anda mula gembira jika dipuji, berhati-hatilah kerana riyak hampir saja timbul lalu memadamkan segala niat awal anda yang ikhlas kerana Allah.
 Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia. (Al-Ikhlas 4)
Apakah kita sedangkan menyamakan Allah dengan puji-pujian manusia Na'uzubillah. Anda selalu solat di masjid namun lama-kelamaan ia semakin pudar dengan riyak dalam hati. Rugilah anda. Bukanlah mengatakan  solat di masjid itu riyak. Cuma kita perlu berhati-hati antara ikhlas, teladan kepada orang lain atau riyak. Tepuk dada tanya hati.
Ya Allah, apakah amalanku yang selama ini kuanggap ikhlas kerana-Mu telah dikaburi riyak. Ya Allah, jauhkanlah aku yang syirik yang nyata dan yang tidak nyata.
Rasulullah s.a.w bersabda, Mohonlah perlindungan kepada Allah dari Jubbil Huzn. Mereka bertanya, Apakah itu, wahai Rasulullah Nabi s.a.w menjawab, Suatu lembah di Neraka Jahannam, di mana setiap hari, Jahannam sendiri berlindung darinya sebanyak empat ratus kali. Mereka bertanya, Untuk siapakah ini disiapkan, wahai Rasulullah Jawab Nabi, Disiapkan untuk para qari' (pembaca Al-Quran) yang riyak dengan amalan mereka. (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Na'uzubillah.

Monday 19 November 2012

berakal






Ramai orang yang punya akal tetapi malangnya ‘tidak berakal’. Maksudnya, mereka tidak menggunakan akal untuk berfikir. Padahal fikir itu ialah pelita bagi hati. Justeru di dalam Al Quran Allah sering mengingatkan manusia agar selalu berfikir, menggunakan akal untuk tadabbur akan ayat-ayatNya dan mengambil ibrah daripada segala kisah yang daripada Al Quran.

Malangnya, sedikit sekali ‘orang yang berakal’ walaupun ramai yang mempunyai akal. Hingga dengan itu ramai manusia yang tidak terasa kebesaran Allah, terlindung oleh keegoaan dirinya. Tidak mahu bersyukur kepada Allah kerana terhijab oleh kudrat dirinya. Itu sekadar renungan awal. Seperti mana ada orang yang punya akal tetapi tidak berakal, maka begitulah ramai ‘orang agama’ tetapi tidak beragama. Maksudnya, dia punya latar belakang pendidikan agama,mahir dengan segala wahyu dan sabda, tetapi segala-galanya tidak memberi impak kepada perilaku dan akhlaknya.

Kita sering bertemu dengan orang yang sedemikian. Kita kagum dengan latar belakang kelulusannya, cakap-cakapnya, malah kekadang ceramah-ceramah serta kuliahnya tetapi apabila kita mula mendekatinya… hati kita tertanya-tanya, apakah ini teladan beragama yang sebenarnya?Kekadang kita terkesima dengan individu-individu yang sederhana dan latar belakang pendidikan agamanya sangat minimum (bukan tidak ada langsung), tetapi lebih warak, istiqamah dan jujur dalam pergaulan. Dia tidak ‘berminyak air’. Apa yang dipaparkannya di hadapan dan di belakang orang sama.

Saya kagum dengan beberapa orang individu yang saya kenali dalam kehidupan ini yang begitu teliti dengan makanan yang hendak diambilnya, wang yang pernah dia berhutang, komen yang hendak dilontarkannya kepada seseorang, sangat menjaga lidah dan tawaduk dalam pergaulan.Ilmu agamanya tidak tinggi tetapi apa yang ada itu benar-benar diamalkan dan membekas (memberi impak) kepada peribadinya. Ilmu yang banyak tentulah penting. Tetapi bukan semua orang berkesempatan dan punya peluang untuk belajar di peringkat sarjana, master mahupun doktor apatah lagi profesor.

Ramai yang hanya di tahap ‘lepas fardu Ain’… Namun Allah Maha Penyayang, kekadang ada manusia yang diberi ‘hati yang bercahaya’ berbanding ‘otak yang bergeliga’, hingga dengan itu sedikit ilmu yang ada mampu dimanfaatkan seoptimumnya.Kekadang dia tidak punya kelulusan atau jawatan yang tinggi. Namun body language yang lebih jujur dan asli,memancarkan cahaya keyakinan, keikhlasan dan kematangan. Jika orang lain hanya menyampaikan ilmu, tetapi dia menyampaikan hikmah. Pada saya mereka inilah ‘orang-orang kecil’ yang begitu besar.

Memang ada ilmu yang tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Guru yang sebegini selalunya bukan mengajar dengan huruf dan angka tetapi dengan gerak hati dan rasa. Mereka hanya mengamalkan apa yang mereka tahu. Dan ‘murid-murid’ tidak rasminya belajar daripada teladan yang dapat dilihat. Bukan dengan mendengar, menulis atau membaca. Dewan kuliahnya luas, seluas bidang kehidupan. Ketika para profesor atau doktor mendefinasikan, mencirikan dan mengupas ilmu, mereka secara ‘simple’ menyampaikan ilmu itu secara amaliah.

Rajin-rajinkanlah menajam pandangan mata hati untuk mencari orang yang begini. Kehidupan mereka adakalanya sungguh sederhana tetapi sangat bahagia. Kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan mereka. Orang sibuk membeli katil dan tilam empuk, mereka puas dengan tidur yang lena. Orang lain sibuk dengan makanan lazat dan berzat, resipi itu dan ini, mereka makan seadanya tetapi sungguh berselera. Mereka punya ‘harta’ yang tidak akan dapat dirompak. Mereka juga punya kekayaan yang tidak mengundang caci-maki dan hasad dengki manusia.

Mereka ini bukan selebriti yang tersohor atau produk program realiti agama yang semakin banyak ketika ini. Mereka ini terselit di tengah-tengah masyarakat tanpa ‘glamour’ dan gelaran. Mereka juga tidak diuar-uarkan dalam kitaran strategi promosi dunia pasaran kontemporari yang bernuansa Islam .Tegasnya, mereka ini tidak ada nilai komersial.. tidak , cukup pakej, kata orang sekarang. Mereka ini hanya produk ‘universiti kehidupan’ yang mendapat ijazah melalui mehnah dan mujahadah. Ya Allah, temukan kami dengan orang ini, manalah tahu mereka itulah pewaris hati Uwais Al Qarni yang doanya mustajab dan kata-katanya mujarab untuk merawat mazmumah yang masih bersarang dalam jiwa ini. Amin....

Rahsia






Orang yang cemerlang ialah orang yang hebat dalam pergaulan dan ramai kawan. Tiada kejayaan sebenar tercetus secara bersendirian. Kita amat memerlukan bantuan, teguran dan penglibatan orang lain untuk mengorak langkah menuju kejayaan. Pakar motivasi tanah air, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah telah menyenaraikan faktor-faktor yang boleh meransang kehebatan dalam pergaulan.

Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik dengan kita ialah:

1. Jaga solat dan lakukan ibadah khusus dan umum yang lain.

2. Sentiasa bersangka baik dengan semua orang (walaupun kita perlu berwaspada setiap masa).

3. Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.

4. Banyakkan bersedekah, sama ada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.

5. Sentiasa memperbanyakkan sabar. Cuba mencari 1001 sebab sebelum kita memarahi seseorang.

6. Sentiasa ceria apabila bertemu dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.

7. Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang-menyayangi antara satu sama lain.

8. Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan membuatkan orang lain mual terhadap kita.

9. Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insya-Allah orang lain akan tertarik kepada kita.

10. Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan bila diri mengingati mati.

11. Sentiasa syukur dan redha di atas pemberian Tuhan.

12. Sentiasa memberi salam atau ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.

13. Pamerkan simpati kepada individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.

14. Jadilah pendengar dan kawan yang setia.

15. Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan keburukan dan kelemahan orang lain.

16. Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.

Bagi menarik perhatian orang lain untuk mendekati kita, maka kita sendiri perlu memperbaiki diri dan kelemahan kita. Orang yang mengasihi dirinya tidak akan melakukan kegiatan yang boleh mensabotaj serta memudaratkan dirinya. Setiap tindak tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan memikirkan perasaan orang lain. 

KELEBIHAN ORG YG SELALU SEBUT : Laailaha illallah’








1. Di dalam hadis bahawa zikir yang tidak terhad kepada sebarang masa, tempat dan alasan ialah ‘Laailaha illallah’. Ia merupakan zikir yang cemerlang. Di dalam hadis yang lain bahawa ia adalah bentuk kebaikan yang tertinggi.

2. Di dalam hadis yang lain bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: pada hari kiamat orang yang paling beruntung mendapat syafaatku ialah orang yang banyak membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan hatinya dan jiwanya iaitu dengan hati yang ikhlas.

3. Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api neraka jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan dri api Neraka Jahanam.

5. Hadis lain: Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu sentiasa perbaharui iman kamu. Para sahabat Rasulullah SAW berkata ‘Wahai Rasulullah SAW, bagaimanakah kami perbaharui iman kami? Rasulullah SAW menjawab ‘ucapkanlah Laailaha illallah sebanyaknya’.

6. Hadis lain: Rasulullah SAW bersabda: Tiada yang dapat menghalang kalimah ‘Laailaha illallah’ sampai kepada Allah

7. Hadis lain: Zikir ‘Laailaha illallah’ tidak akan meninggalkan satu dosa pun di belakang dan tiada satu amalan yang menyamainya.

8. Hadis lain: Jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di satu dacing dan dengan kalimah ‘Laailaha illallah’ diletakkan di atas dacing yang lain, maka (kalimah) lebih berat lagi.

9. Dalam hadis: Apabila seorang hamba mengucapkan kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan ikhlas hati, maka pintu langit terbuka bagi kalimah ini sehingga ia sampai ke Arasy, dengan syarat ia menjauhkan diri dari dosa besar.

WaniTa SyurGa?





1)Sebuah hadis Nabi menyatakan: Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Ahmad)

2)Drp Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Nabi Sallallahu Alahi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya perkara yang pertama sekali dikira dari amalan hamba di hari kiamat ialah sembahyang; sekiranya sembahyang itu sempurna, maka beruntung dan berjayalah dia, dan sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah dia, kalau kewajipan fardhu masih kurang, Allah berfirman: Lihatlah adakah amalan-amalan sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut. Demikianlah seterusnya dengan amalan yang lain” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Tertunainya hak dan tanggungjawab suami barulah akan turun keredhaan dan rahmat Allah kepadanya. Menjaga kehormatan diri juga merupakan hal yang digariskan oleh hadis di atas. Antara hal-hal yang boleh diketegorikan dalam konteks menjaga kehormatan itu ialah mempunyai sifat pemalu, jika suaminya keluar dia akan menguruskan dan menjaga dirinya dan harta suaminya dengan amanah. Bila suaminya datang kepadanya dia akan menjaga mulut daripada menyebutkan perkataan yang tidak elok didengar.

3)Sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan bahawa: “Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Maksud hadis ini ialah jika kesopanan atau sifat malu sudah hilang, iman juga akan hilang bersama-samanya. Betapa besarnya pengaruh antara kesopanan dan keimanan kepada diri seorang wanita itu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menegaskan dengan sabda baginda: “Apabila sesesorang itu terlibat dengan penzinaan, ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu mencuri ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu meminum arak ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu menyelewing setelah diberi amanah oleh orang lain ia bukan lagi seorang beriman, dan apabila seseorang diantara kamu menipu ia bukan lagi seorang beriman, oleh itu berjaga-jagalah!”

Taat kepada suami merupakan satu lagi sifat wanita yang digambarkan oleh hadis yang dipaparkan di awal makalah ini. Taat kepada suami adalah tanggungjawab isteri yang wajib di sempurnakan.

4)Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka.” (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

Isteri adalah pusat dan sumber kebahagiaan dan ketenteraman di dalam sebuah rumahtangga. Ia perlu mempunyai sifat-sifat sabar dan perhatian yang sepenuhnya kepada suami dan juga anak-anak.

Sikap inilah yang boleh mewujudkan suasana yang tenang, aman dan damai dalam rumahtangga. Dalam hal ini, para isteri sayugialah akan sentiasa bersikap baik kepada suami.

5)Saidina Abu Bakar Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda: “Seorang wanita yang menyakiti hati suami dengan lidahnya, dia mendatangkan celaan dan kemurkaan Allah, para malaikat dan umat manusia.”

6)Selain itu, Saidina Ali Radhiallahu Anhu meriwayatkan sebuah hadis mengenai setiap isteri yang tidak menghormati status suaminya. “Wanita yang berkata kepada suaminya yang tidak melihat apa-apa kebaikan pada suaminya, Allah menghapuskan segala perbuatan baiknya selama 70 tahun, walaupun dia berpuasa selama itu siang hari dan bersembahyang pada malamnya.” (Hadis Riwayat Imam Majah dan An-Nasai)

Berdasarkan huraian ringkas di atas, para wanita semestinyalah mengamalkan sikap taat dan bertakwa kepada Allah, bertanggungjawab kepada suami dan menjaga kehormatan dirinya. Semoga dengan itu, akan mudahlah mereka mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Rahmat dan redha Allah itulah yang akan menjamin kebahagian hidupnya di dunia dan di akhirat
.