Saturday 2 April 2022

Perjalanan

Perjalanan hidup diteruskan lagi setelah satu demi satu fasa kehidupan didunia di lalui. Bermula dari zaman kanak- kanak , zaman remaja dan kini perlahan- lahan mengorak langkah melalui dan menghayati zaman dewasa. Zaman ini aku dapati merupakan zaman kehilangan dan perpisahan antara jasad. Samaada ajal atau waktu yang memisahkan. Zaman semua orang mula membawa haluan sendiri dan sibuk dengan tanggungjawab yang sedang dipikul sebagai seorang insani. Sungguh terima kasih ya Allah kerana memberi segala ruang dan peluang yang sangat banyak kepada diri ini dalam melalui perjalanan ini.Begitu banyak pengalaman yang mendewasakan penuh suka duka yang akan aku ingati sehingga akhir hayat nanti. Kala aku menulis tentang perjalanan ini, sebenarnya aku terasa sebuah kehilangan dan rindu pada insan- insan yang aku gelar teman sewaktu masa dahulu. Masing- masing membawa diri.Masing - masing dengan kehidupan sendiri, pekerjaan sendiri , dan keluarga sendiri. Kadang aku akui sukar untuk menjelaskan tentang kenapa aku sendiri mula menjauhi diri dari mereka atau kenapa mereka sedang menjauhi aku. Egokah aku bila tidak lagi bertanya khabar dengan mereka atau terlukakah aku bila menyedari diri sebenarnya tidak lagi diperduli. Melangkah pergi dalam diam itu mungkin lebih baik demi menjaga hati sendiri dari perpura - pura kuat seperti tiada hati. Berjalanlah kita semua pada jalan yang sedang terbentang di depan mata dengan sebaiknya. Usah di kesali perkara yang lalu.Usah didendami luka yang lama. Maafkanlah luka yang pernah digiris dan terpahat dengan doakan mereka yang pernah juga memberi kenangan suka tanda keikhlasan hati menyanyangi. Jangan jadi manusia amnesia yang hanya menilai pada luka baru namun bunga yang pernah diberi dahulu sebagai kenangan tidak diperduli. Perjalanan kita masih jauh lagi untuk kita mendabik dada, juga jangan lupa perjalanan ini juga penuh dengan kejutan untuk kita merasa lega.Mati itu pasti namun ia rahsia ilahi. Berjalanlah kita semua dalam perjalanan ini dengan waspada dan kumpullah bekalan jangan alpa. Aku sedar aku bukan "si dia yang dalam perjalanan dan banyak bekalannya" tapi aku hanya insan biasa yang punya rasa rindu dalam perjalanan ini yang sedang meluahkan dan mengingatkan bahawa jangan lupa mengumpul bekalan untuk ke sana.Menuju alam yang seterusnya dan seterusnya hingga menetap di tempat yang kekal selamanya iaitu syurga.Fihifzillah buat mereka yang sentiasa dalam doa ini, mereka yang aku gelarkan sebagai teman. Tuhan mohan jagakan mereka untuk aku...