Wednesday 23 January 2013

Pendengar




terkesan dengan kata2 ustaz pahrol juoi yang dikongsikan dalam blognya... yg sangat memberi kesan pada dri ini...
Percayalah, kekadang manusia hanya inginkan ‘didengar’ bukan penyelesaian. Kerana dengan didengar, manusia terasa dihargai, disayangi dan dihormati. Jika kita ingin dicintai, cukuplah dengan menjadi pendengar. Tidak perlu melakukan apa-apa, cuma dengar…
Saya sendiri menempuh pelbagai kesalahan dan kesilapan dalam hidup akibat tidak mendengar. Sangka saya, dengan berkata-kata kita boleh meraih kemesraan. Rupa-rupanya tidak. Kita akan lebih dicintai, jika kita menjadi pendengar.
Kita pernah mendengar di corong radio apabila masyarakat menghubungi pakar motivasi, ulama, ustazah dan pendakwah… Acapkali mereka bukan meluahkan masalah. Mereka hanya bercakap dan bercakap… mengapa? Ya, mereka hanya ingin didengar.
Alangkah indahnya jika kita punya masa dan sedia meluangkan masa untuk menjadi pendengar. Kehausan untuk didengar ialah petanda kehausan kasih sayang dan cinta. Manusia tercari-cari siapa yang sudi menjadi pendengar untuk diluahkan segala dan semua. Sekali lagi, bukan inginkan penyelesaian tetapi hanya inginkan penghargaan dan kasih sayang.
Mari pada hari ini, kita bertekad untuk menjadi pendengar. Ketapkan mulut dan bukakan hati dan telinga untuk mendengar. InsyaAllah, kasih sayang akan bertaut dan berbunga kembali. Jangan biarkan isteri, suami, anak, pelajar, pekerja, pengikut dan pesakit kita ternanti-nanti… mulakanlah tugas cinta yang pertama: Just listen…hanya dengan mendengar.
Dari saya, hanya seraut catatan.
HANYA DENGAN  MENDENGAR…
Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia perlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya. Orang yang begini, akan gagal dalam hidupnya.
 Peri pentingnya didengar dalam hidup seseorang itu hingga menyebabkan bijak pandai mengungkapkannya melalui kata-kata hikmah yang berbunyi:“Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.”
Ertinya, kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Justeru, dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum.
Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar. Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang lain.
 Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai:“Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.”
Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita banyak mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti berkokok di mana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa?
Ya, sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar. Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Nama ku lebih tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tak layak menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri!
 Apakah dengan mendengar kita menjadi hina, miskin dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita sudah tersalah. Menjadi pendengar menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri). Orang yang tawaduk akan ditinggikan Allah. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang asyik berkata-kata.
 Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita peroleh. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat kita di sisi Allah dan manusia. Bukankah dalam Al Quran Allah telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu itu ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu?
 Justeru, Allah yang Maha Pencipta juga bersifat Maha Mendengar – “sami”. Dan salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah as Sami’. Allah maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan ketika. Allah adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Jika kekasih di kalangan manusia akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang kali sebaliknya Allah tidak sebegitu. Allah bersedia mendengarnya  bila-bila masa sahaja.
 Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu dengan terang dan jelas. Sedangkan seorang kaunselor, ulama, khadi, hakim yang terbaik sekalipun tidak mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza pada suatu masa dalam keadaan serentak.  Inilah kehebatan Allah sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah mahu mendengar bahkan mampu mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa!
 Allah mulia dan agung kerana kesudian dan kesediaan-Nya mendengar rintihan dan pengaduan manusia. Begitu juga jika ada manusia yang mahu mendengar rintihan dan pengaduan manusia lain… dia juga akan ditinggikan darjatnya. Allah sudi mendengar rintihan semua manusia tanpa mengira pangkat, derjat, harta dan rupa paras. Allah mendengar permintaan seorang raja, Allah juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil…
Seorang pesakit, datang merintih kerana penyakitnya… Allah mendengar. Seorang menteri mengadu hal-hal negara… Allah mendengar. Seorang isteri mengadu hal rumah tangga… Allah mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah tetap mendengar. Pintalah hal sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang sebesar-besarnya, Allah tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat seorang soleh yang memohon syurga, Allah tetap sudi mendengar, justeru Allah itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha mendengar!
Sebaliknya, manusia terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk dalam soal mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap tinggi pangkatnya, maka dia senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya itu dapat menghabiskan percakapannya. Kalau sikaya menegur, semua menelinga dan tunduk akur. Tetapi bila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan menunjukkan reaksi selamba.
 Namun tidak begitu keadaannya pada insan bernama Muhammad saw. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya. Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya ada pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat itu!
 Itulah Rasulullah saw yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah swt. Bagaimana dengan kita? Ah, malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi mana… namun egonya sudah setinggi langit. Kononnya kitalah yang paling bijak dan mulia. Jika dalam satu majlis kita tidak dialu-alukan dengan kata-kata sambutan, maka kita rasa dipinggirkan. Jika dalam mesyuarat kita tidak dijemput bercakap, terasa orang menafikan keintelektualan, gelaran dan jawatan kita.
 Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati. Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya.
Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita. Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu…
Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan. Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan

Sunday 13 January 2013

seadanya


Jangan mencari keadilan yang mutlak di dunia ini. Terimalah hidup seadanya. Jadilah diri sendiri. Kita ubah yang mampu diubah, yang tidak mampu serahkan kepada Allah. Jika bahagia yang dicari, tetapi derita yang diberi… terimalah. Bahagialah dengan derita itu.
Manusia akan tersiksa oleh jangkaan dan harapannya. Allah ciptakan putaran hidup ini seumpama kitaran cuaca dan musim. Ada yang menikmati empat musim seperti Eropah. Ada yang kontang sepanjang masa umpama Sahara. Ada yang dingin memanjang seperti di  Antartika. Kita hamba… setelah berusaha sehabis daya, pasrah dan menyerahlah. Carilah R&R dalam kembara hidup ini, di sanalah tempat kita berehat seketika… sebelum berehat selama-lamanya! 
Jika ditakdirkan tidak kita temui sesuatu yang dicari di dunia ini, terimalah hakikat ia memang tidak ada. Di akhirat sana tempat ‘ada’ dan sempurna segala. Jika ‘langit’ hendak runtuh, masakan jari yang kecil ini mampu menahannya. Dalam setiap yang kita miliki, pasti ada jemu dan letihnya. Dalam setiap yang kita tidak miliki, pasti ada kesal dan sayunya. Jangan terlalu dalam segalanya. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan terlalu duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamaktkan ‘hati’ kita.   
Tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Semakin kita terima hakikat ini, hidup kita akan menjadi semakin tenang. Jika tidak, kita akan sentiasa rasa arah, kecewa, dipersenda dan ditipu oleh manusia lain dan keadaan. Sebaliknya, apabila kita mula menerima hakikat dunia memang tidak adil, maka hidup kita kan menjadi lebih tenang dan harmoni.
Mengapa di dunia ini tidak ada kedailan yang mutlak? Yang baik, tidak semestinya mendapat ganjaran dan balasan yang baik. Manakala yang jahat, acap kali terlepas dan bebas? Ya, inilah kaedah Allah menguji manusia, agar terserlah siapa yang benar-benar ikhlas berbuat kepadaNya dan siapa pula yang benar-benar meninggalkan kejahatan kerana-Nya jua. Inilah ujian iman.
Menerusi pengajian tauhid, yakni dalam mengenal sifat-sifat Allah, memang kita telah sedia maklum bahawa Allah swt akan memberi dan menunjukkan sifat keadilan-Nya secara mutlak dan tuntas di akhirat nanti. Manakala, di dunia ini Allah tidak menunjukkan sifat keadilanNya secara sepenuh dan menyeluruh sebagai ujian kepada orang-orang yang beriman kepadaNya.
Lihat bagaimana nabi Zakaria AS, Nabi Yahya AS dan beberapa nabi yang lain telah dibunuh oleh musuh-musuh kebenaran. Sekiranya kita sebagai suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, pemimpin, pengikut… menerima layanan atau balasan yang tidak adil, biasalah. Inilah hakikat dan lumrah hidup yang mesti ditempuh. Jangan mencari yang ‘serba kena’ kerana hidup dipenuhi oleh resam yang ‘serba tidak kena’.
 Sekiranya kita berbuat baik kerana mengharapkan ganjaran, pembalasan dan ucapan terima kasih daripada manusia, tentu kita akan keewa kerana umumnya manusia memang tidak pandai berterima kasih apalagi untuk membalas budi. Memang, buat baik dibalas baik, tetapi bukan seua kebaikan dibalas di sini (dunia), ada yang Allah simpan di sana (akhirat).
Justeru, apabila Allah menyuruh manusia melakuan kebaikan atau meninggalkan kejahatan, Allah akan menyeru kepada manusia yang beriman dengan lafaz “Ya ayyuhal lazi na amanu – wahai orang yang beriman.” Begitu juga apabila Rasulullah saw menyeru untuk umatnya melakukan kebaikan, baginda sering memulakanya dengan berkata, “barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah…”
Banyak hikmahnya mengapa Allah dan RasulNya berbuat demikian, salah satunya ialah untuk menunjukkan bahawa mereka yang mahu dan mampu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dengan ikhlas, sabar dan istqamah hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yakni, mereka yang yakin bahawa Allah Maha melihat akan perbuatan itu dan membalasnya dengan ganjaran atau seksa yang setimpal.
Allah memujuk, Nabi Muhammad dan orang-orang beriman dengan firmanNya: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).”
Impak daripada itu, manusia yang beriman akan menghadapi hidup ini dengan lebih tenang. Tidak banyak merungut, merengus dan marah-marah. Jika madu dibalas tuba, mereka mampu sabar dan redha. Apabila mendapat ‘limau masam’, mereka akan segera membuat ‘air limau’. Makna, sekiranya apa yang mereka terima sebagai balasan, tidak seperti yang diharapkan dan dijangkakan, mereka tidak ‘memberontak’, sebaliknya mereka mengubah hati, fikiran dan perasaan mereka untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan baik.
Apabila inginkan kejayaan, tetapi sebaliknya kegagalan yang berlaku… mereka akan berkata, “Tidak mengapa, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan, kegagalan adalah ‘kejayaan’ yang ditangguhkan. Orang berjaya lebih banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal.”
Mereka tidak mengutuk orang lain, keadaan, diri mereka sendiri apalagi mempersalahan Tuhan. Mereka tidak akan menyesal dan kesal terhadap apa yang berlaku sebaliknya mencari tapak dan semangat baru untuk berusaha dengan lebih baik. Lalu dalam kamus orang berjaya sering tertera pengukuhan kata-kata ini: Kegagalan adalah peluang untuk memulakan semua dengan lebih baik!”
Oang yang telah menerima hakikat dunia ini tidak adil, tidak akan bemusuh dengan dirinya sendiri. Dia tidak mendera dirinya dengan kejam. Mengapa aku bodoh sangat? Mengapa aku lurus bendul? Mengapa aku boleh tertipu? Ini bukan langkah muhasabah yang membangunkan jiwa yang proaktif, tetapi satu ‘self sabotaging habit’ yang menyebabkan dirinya menjadi pasif, pesimis atau murung. Kemudian keburukan dari dalam diri itu akan meletus keluar menjadikan dirinya sebagai ‘toxic people’ yang bersifat aggresif, bersangka buruk dan marah-marah kepada orang lain.
Dalam surah Al Fatehah, Allah menegaskan bahawa Dialah Raja pada Hari Akhirat. Kalimat ini kita ulang-ulang baca pada setiap hari tidak kurang 17 kali. Semuga makna atau kehendak daripada kalimat ini meresap dalam minda sedar dan separa sedar kita, bahawa Allah akan menunjukkan kebesaran sifat Malik-Nya di akhirat, yang pada waktu itu tidak akan ada siapa yang berani mengangkat muka atau berkata-kata.
Di dunia ini, penjahat atau pelaku kemungkaran masih boleh mendabik dada dan meninggikan suara, kerana kuasa yang sementara. Dengan kuasa itu mereka menipu, menindas dan menzalimi dengan pelbagai taktik dan cara. Namun di akhirat nanti, mereka akan kaku, kelu dan membisu apabila Allah menunjukkan kebesaran dan keadilanNya. Di sana nanti barulah kebaikan akan mendapat ganjaran… bukan setimpal tetapi digandakan. Di sana jualah nanti kejahatan akan mendapat balasan… yang pedih, perit dan berganda.
Allah yang Maha Adil tidak mencipta dunia ini dengan serba adil untuk menguji manusia sejauh mana iman mereka kepada sifat keadilanNya! Agar dengan itu orang yang beriman rela ‘disusahkan’ kerana Allah dalam usahanya melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Agar dengan itu, orang beriman akan berkata pada hatinya, “ wahai Tuhan, aku rela menerima kesusahan yang sementara dan sedikit di dunia yang serba tidak adil ini demi mendapat kesenangan yang abadi dan lebih baik di akhirat nanti!”
Sampai ke takah ini, sekiranya hati masih bertanya, “mengapa dunia ini tidak adil?” Jawabnya, “kerana Allah yang Maha Adil ingin menunjukkan keadilanNya di akhirat.” Ya, keyakinan kepada Hari akhirat sangat penting semasa hidup di dunia. Meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, itulah erti keadilan. Hati orang beriman ialah hati yang adil. Dalam hati itu terpahat satu hakikat:  Dunia tempat penat, di akhirat tempat berehat!
Ya, hidup selepas mati adalah tempat rehat daripada kepenatan daripada ujian hidup sebelum mati. Justeru, Rasulullah saw sendiri berdoa: ” Ya Allah, jadikanlah kematian tempat istirehat daripada segala keburukan dan kejahatan…