Saturday 9 March 2013

Jiwa




Pertolongan yang tidak disangka-sangka

Tanpa kita ketahui, sebenarnya pertolongan Allah itu sering sahaja berlaku secara tiba-tiba dan tidak disangka-sangka. Bagi yang sentiasa meletakkan diri dalam keindahan tawakkal kepadaNya, saat pertolongan dan bantuan Allah itu lahir, jiwanya sentiasa dirundung rasa keinsafan. Lidahnya tidak henti-henti mengucapkan rasa syukur sehinggakan air matanya turut sama menyatakan rasa terima kasih tidak terhingga kerana masih mendapat pandangan kasih Ar-Rahman. Lantas, amalnya diperhebat kerana dalam diri tersemat indah rasa kehambaan. Keimanannya bahawa dengan mengingati Allah dikala senang, pasti mendapat perhatian Allah di kala susah semakin menebal. Alangkah indahnya saat jiwa berada dalam dakapan iman!

Bagi jiwa yang sakit, pasti pertolongan yang hadir itu dirasakan dengan berkat usahanya sendiri dengan menafikan bahawa tiap-tiap yang berlaku itu hanya terjadi dengan izin Dia Yang Maha Berkuasa. Inilah realiti kehidupan yang terjadi pada umat baginda rasul, Muhammad s.a.w yang diuji dengan pangkat dan harta kekayaan. Begitu juga dengan konteks pelajar yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Masih wujud sebilangan besar pelajar yang terlupa untuk mensyukuri nikmat kejayaan yang diberikan Tuhan kepada mereka. Mengapa hal ini terjadi, berbalik kepada jawapan yang sama. Kerana lunturnya rasa dan jiwa kehambaan.

Justeru, bagi orang-orang yang beriman, jangan pernah dirisaukan dengan perihal balasan Allah s.w.t kepada mereka. Sesungguhnya karunia Allah sangat luas. Masakan Allah tidak mengetahui penat lelah hamba-hambanYa yang soleh? Sehinggakan dunia dan seluruh isinya tidak layak diberikan sebagai ganjaran kepada mereka. Yang menanti pasti singgahsana nan indah di syurga kelak. Jangan pernah membiarkan penyakit ujub, riak dan takabbur merebak di hati. Juga jangan pernah menyesal andai segala apa yang kita kecapi tidak kita perolehi. Tiada satu makhluk pun yang bisa menandingi kehebatan dan kekuasaan Allah s.w.t. Pasti, bagi mereka yang terlibat di dalam jalan dakwah ini, persoalan mengenai himpitan-himpitan masalah menebal di benak fikiran. Barangkali pernah juga terlintas " Benarkah apa yang aku lakukan ini? Jika Allah meredhai apa yang aku lakukan, masakan aku diuji sebegini rupa?" Ingatlah, berjuang memang pahit! Kerana syurga itu manis. Masakan, jalanan perjuangan dihampar permaidani merah? Bersyukurlah bagi mereka yang diuji dengan kesusahan sedangkan ujian berupa kesenangan itu sememangnya lebih payah.


Jiwa Hamba

Semaikanlah jiwa hamba dan hindarkanlah diri dari mendabik dada dengan kemuliaan dan harta benda. Sucikanlah hati dengan memperbanyak amalan zikir dan bacaan Al-Quran kerana Rasulullah s.a.w pernah berpesan kepada kita; di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tarmizi ibnu Abbas;
" Seseorang yang tidak ada sedikitpun Al-Quran di dalam hatinya adalah seperti rumah yang kosong," (H.R Tarmizi) Nauzubillahi minzaalik. Bagi mereka yang sedang merawat hati, jangan pernah khuatir dengan persoalan berupa " Mengapa semakin aku cuba merawat hati, semakin aku menemui kebuntuan, semakin aku menyedari kekotoran yang berlumut-lumut?" Inilah tanda bahawa hati itu sedang dirawat. Demikian jualah yang berlaku kepada tubuh badan kita saat para doktor menjalankan diagnosis. Jasad yang dirasakan sihat rupa-rupanya menghidap pelbagai penyakit-penyakit merbahaya. Oleh itu, nilailah kembali betapa kita ini sebenarnya mampu mengecapi nikmat kehidupan hanya dengan izin Dia Yang Maha Berkuasa. Beristighfarlah dengan ibu segala istighfar andai pernah terdetik di dalam hati rasa 'ujub,riak dan takabbur. Mudah-mudahan redha Allah bersama kita..

Allahumma irhamna bil Quran, Waj'alhu lana imaman wa nuran wa hudan wa rahmah. Allahumma zakkirna minhuma nasina wa 'allimna minhuma jahilna, waj'al hulana hujjatan ya Rabbal'Alamin..

Ya Allah kasihanilah kami dengan Al-Quran, jadikanlah ia imam, cahaya dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami ketika lupa serta bimbinglah kami ketika kami tidak mengetahui serta jadikanlah Al-Quran itu hujjah bagi kami..

No comments:

Post a Comment